Friday, January 28, 2011

Persembahan Pertama Syazarwan

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Malam tadi telah berlansung kemunculan sulung kumpulan nasyid UiTM Pulau Pinang generasi keempat yang telah disaksikan oleh penduduk kolej Kristal dan Zamrud. Alhamdulillah sekali lagi kerana semuanya berjalan lancar walaupun tidak sesempurna yang dirancangkan.

Persembahan dari Syazarwan adalah atas jemputan pihak JPK Zamrud dan Kristal bagi memeriahkan sambutan Overview Night. Program ini sememangnya menguji iman urusetia-urusetia JPK kerana program yang sememangnya dijadualkan pada malam tersebut sebenarnya telah dibatalkan dek kerana persiapan terlalu awal oleh pihak ESQ yang dijadualkan berlangsung pada keesokan paginya.

Setelah diberitahu tentang program tersebut batal, saya terus menghantar masej kepada semua ahli Syazarwan dengan perasaan penuh kecewa mengenangkan betapa ahli-ahli Syazarwan yang telah berlatih bersungguh-sungguh pada setiap malam untuk persembahan sulung mereka ini. Seperti yang saya sangkakan, pelbagai reaksi telah saya terima. 

15 minit kemudian, saya mendapat panggilan semula untuk meneruskan persembahan. Dengan perasaan gembira saya terus menghantar masej bagi menyampaikan berita gembira tersebut. Seperti yang saya jangkakan, banyak perkara yang perlu kami selesaikan sebelum persembahan.

Barangan percussion yang sangat berat terasa ingin sahaja ditinggalkan kerana Saudara Faiz telah pergi bersama keretanya. Setelah berikhtihar, alhamdulillah, dapat juga Saudara Aiman datang membantu.

Oleh sebab, kami memulakan Sound Check dan rehearsal lewat, kami turut terlewat untuk pulang bersiap. Saya hanya beri masa setengah jam kepada Syazarwan untuk solat dan bersiap. Tanpa dijangka, vokalis utama, Haikal telah terperangkap di dalam  lif baiduri dan hanya berjaya keluar selepas pukul 8.30 malam.

Tanpa kehadiran Haikal, kami terpaksa juga perform awal dek kerana tersalah sebut nama kumpulan yang perlu perform. Demi menjaga nama depan Timbalan Pengarah Kampus, kami keluar juga membuat persembahan. Sedikit kecewa tanpa Haikal. Saya yang tiba agak lewat dan terkejut dengan kemunculan Syazarwan sebelum waktunya menjadikan saya gelisah dan terlupa untuk merakam persembahan sulung itu.


Keadaan di dalam dewan semasa Syazarwan membuat persembahan.

Alhamdulillah, selepas membuat persembahan, kami dihidangkan mi kari berapi. Mi kari pedas, teh panas dan makan di bilik yang tiada aircond mahupun kipas. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya dapat makanan sedap.

Sebelum pulang ke markas latihan.   :)
Masih ramai yang tiada dalam gambar kerana terpaksa pulang awal.

Alhamdulillah. Setelah semuanya kami lalui, walaupun masih ada kekurangan, diharapkan kami dapat menebusnya kembali pada 10 Februari 2011 bersempena Maulud Nabi dan InsyaAllah pada 12 Ferbuari 2011 bersempena majlis untuk penduduk kolej Mutiara pula. 

Saya mengucapkan tahniah kepada semua anggota Syazarwan di atas persembahan yang boleh dikatakan berkualiti kerana ini adalah persembahan pertama dan pengalaman pertama mereka. Semoga usaha mereka ini membuahkan hasil yang cukup manis untuk semua ahli PKI.   :)

Sampai disini. Wassalam.

Monday, January 24, 2011

Syazarwan

Assalamualaikum.

Setelah berunding sesama ahli, Persatuan Kesenian Islam UiTM Pulau Pinang telah memutuskan kumpulan terbaru yang dilahirkan dari kelab ini bernama Syazarwan yang bermaksud Kaki Lima Kaabah. 

Nama ini telah dicadangkan oleh salah seorang ahli kumpulan tersebut iaitu Saudara Fitri dan dipersetujui oleh semua ahli yang terlibat.

Sampai disini. Wassalam.

Sunday, January 23, 2011

Live Dari Bilik Latihan Persatuan Kesenian Islam

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, malam ini berlangsung jua latihan untuk persediaan persembahan untuk Malam Perasmian Kolej Kristal pada 27 Januari nanti.  Kami terpaksa menahan telinga kerana  Kelab EZ Muzik mengadakan Jamming di bilik sebelah. Pergh! Berikut gambar yang sempat saya rakamkan menggunakan webcam.

Pasukan percussion yang sibuk berlatih yang diketuai oleh Saudara Nasrullah.


Pasukan vokalis yang terpaksa menjalankan latihan di luar bilik dek kerana bunyi percussion.


Eh sempat lagi Aiman menjamu selera ya? :)

Semoga persembahan yang akan kami sajikan nanti berjalan lancar. Amin ya Rabbal Alamin.

Friday, January 21, 2011

Latihan Nasyid

Assalamualaikum.

Pertemuan pertama antara ahli PKI pada malam tadi telah berlangsung dengan lancar. Alhamdulillah. Malam tadi telah diadakan perlantikan presiden kelab. Dan saudara Soffi telah dilantik bagi jawatan itu. Tahniah diucapkan.

Malam ini pula akan diadakan sesi latihan nasyid di atas Food Court UiTMPP tepat pada pukul 8.00 malam. Semua diharapkan dapat hadir.

Sesi latihan ni dijalankan memandangkan PKI menerima dua jemputan persembahan, iaitu pada 27 Januari dan 10 Februari 2011 nanti. Semoga semuanya berjalan lancar.

Thursday, January 20, 2011

Perjumpaan Pertama Ahli Baru Dan Lama Tahun 2011

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Semalam sudah berakhirnya Ekspo Kelab dan Persatuan (ESKEP) untuk semester pertama bagi tahun 2011. Alhamdulillah, sepanjang berlangsungnya ESKEP, terdapat beberapa orang ahli yang sanggup turun padang bagi menjayakan booth PKI. Terima kasih. Terima kasih juga diucapkan kepada mereka yang bukan ahli PKI yang sudi menghulurkan bantuan sepanjang 2 hari tersebut.

Dan pada malam ini akan berlangsung perjumpaan pertama antara ahli baru dan lama untuk mengenali mereka dan memperjelaskan kepada mereka perjuangan dakwah yang diketengahkan oleh Persatuan Kesenian Islam ini. Berikut adalah butiran perjumpaan untuk malam ini.

Hari        : Khamis (20 Januari 2011)
Masa      : 8.00 malam
Tempat  : Berkumpul di Laman Siswa (LS) dan akan diberitahu kemudian.

Diharapkan semua ahli Persatuan Kesenian Islam UiTMPP dapat hadir pada malam ini.
Wassalam.