Assalamualaikum. Sahabat-sahabat PKI. Semoga anda sihat menjelangnya bulan mulia, Ramadhan. Sudahkah anda bersedia menyambut bulan mulia ini? Para akhowat, sudahkah anda menjelaskan hutang-hutang anda? Di harapkan sudah selesai semuanya. Jika belum, janganlah berlengah lagi. Jika tidak habis mengganti, fidyah lah jawabnya.
Pada bulan Ramadan ini disyariatkan untuk berpuasa yakni meninggalkan makan dan minum serta segala perbuatan yang keji dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Sabda Nabi:
"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan puasa ke atas kamu semua." - Hadis riwayat Ahmad, no: 9133.
Di sini saya ingin sertakan beberapa sunnah yang boleh kita jalankan sepanjang ramadhan. Bukan sahaja berpuasa, malah kita boleh melakukan sunnah ini supaya pahala kita berlipat ganda. Kita perlu berlumba-lumba untuk meningkatkan pahala kita.Takut-takut, tahun depan kita tidak dapat bertemu Ramadhan, alangkah ruginya bila pahala kita tidak mencukupi. Tapi dengan syarat, segala sunnah ini haruslah kita niatkan kerana Allah, semata-mata Allah! Di sini saya sudah memudahkan anda membaca dengan menebalkan isi penting dan men'Italic'kan dalil-dalalnya. Jom kita explore, Zass!
Doa ketika melihat anak bulan
Apabila seseorang melihat anak bulan untuk menentukan tarikh bermulanya bulan Ramadan, dia hendaklah berdoa dengan doa yang telah diajar oleh Nabi s.a.w iaitu :
"Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." - Hadis riwayat al-Tirmizi, no: 3373.
Meninggalkan perkataan-perkataan keji, dan lebih bersabar
Disunnahkan bagi orang yang berpuasa meninggalkan perbualan yang lagha (tidak berfaedah), mengumpat, bercakap kotor, mencerca orang lain dan sebagainya. Puasa juga mendidik seseorang untuk menjadi penyabar. Oleh itu, seseorang yang berpuasa disunnahkan bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan mengucapkan “sesungguhnya aku sedang berpuasa” sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali). ” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1894.
Jangan bercakap bohong
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan itu terus menerus, Allah langsung tidak berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa)." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1903.
Banyakkan bersedekah
Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawan sentiasa memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Ibn Abbas r.a berkata:
Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1902.
Bertadarus
Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata:
"Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1902.
Menunaikan umrah jika berkemampuan
Jika berkemampuan, berusahalah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan kerana pahalanya menyamai pahala mengerjakan ibadah haji. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1782.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Pahala umrah pada bulan Ramadan menyamai pahala haji. Tetapi, bukan bererti umrah tersebut dapat mengugurkan kewajipan haji. Berdasarkan ijmak ulama, umrah tidak dapat menggantikan kewajipan ibadah haji hinggakan orang yang telah melaksanakan umrah (pada bulan Ramadan) tetap berkewajipan melaksanakan haji." – Rujuk Fathul Baari, jil. 10, ms. 27
Menggandakan amalan pada 10 malam terakhir
Pada bulan Ramadan terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding melakukan ibadah selama seribu bulan yang dipanggil sebagai lailatulqadar. Firman Allah S.W.T:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Menurut pengetahuanmu, apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." - Surah al-Qadr: 1-5.
Justeru itu, kita semua hendaklah menggandakan ibadah kita pada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadan terutamanya pada malam-malam yang ganjil, iaitu malam ke 21, 23, 24, 27 dan malam ke 29 demi mendapatkan malam al-Qadar. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang hidup untuk melakukan ibadah sambil beri’tikaf di masjid. Ketika beri’tikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain. Aisyah r.a berkata:
"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain." – Hadis riwayat Muslim, no: 1174.
Solat Tarawikh, Qiyam Ramadhan dan Solat-solat Sunat lainnya
Solat Tarawih atau Qiyam Ramadan merupakan satu sunnah yang amat dituntut. Umat Islam perlu menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan amal ibadah seperti solat-solat sunat. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 759.
Itulah antara amalan-amalan sunnah yang bleh kita lakukan di sepanjang Ramadhan ini. Jika kita dapat mencontohi Rasulullah alangkah bahagia dan beruntungnya kita. Semga bingkisan ini dapat menaikkan semangat seluruh ummat Islam terutamanya ahli-ahli PKI. Laman rujukan adalah dari [sini].
Sampai di sini, semoga kita bertemu lagi dalam bingkisan yang lainnya.
[Along Fina] : Tak sabar nak sambut Ramadhan! Selamat beramal semua!
Wassalam...
No comments:
Post a Comment