Tuesday, October 27, 2009

Nilai Seorang Manusia


Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:


“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”

(Riwayat Muslim)

Definisinya disini ialah nilai setiap manusia yang paling utama terletak pada amal perbuatan yang dilakukannya bukanlah pada rupa parasnya. Sekiranya elok tingkahlaku dan budi pekertinya maka baiklah dia pada pandangan kita dan begitulah juga sebaliknya. Namun pada pandangan Allah S.W.T selain daripada tingkahlaku dan amalan, nilai yang terpenting dalam diri seseorang individu adalah pada niat orang yang melakukan amal perbuatan itu sendiri. Maksudnya kita mestilah ikhlas semata-mata mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan lain atau membuat sesuatu kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan selain daripada balasan Allah S.W.T. Hal ini kerana, ikhlas merupakan salah satu daripada amalan hati manusia. Lawan ikhlas adalah riya’ iaitu membuat sesuatu kebaikan dengan tujuan atau niat untuk menunjuk-nunjuk. Sifat ini bukan sahaja akan mengurangkan pahala malah dimurkai Allah S.W.T.


Seseorang individu yang ikhlas dalam kerjanya bererti dia tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya bahkan dia menganggap kerjanya itu sebagai satu ibadah di mana wajib ke atasnya melaksanakan tanggungjawabnya itu dengan sempurna dan bersungguh-sungguh. Bekerja dengan niat yang ikhlas bukan sahaja dapat membentuk nilai mulia dalam diri malahan dapat meningkatkan produktivi dan menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat. Justeru itu, ketertinggian nilai kemanusiaan dalam diri manusia itu ialah bergantung kepada sejauh mana ia menjalankan kewajipan ibadah kepada Allah. Manusia itu akan semakin jauh dari nilai kemanusiannya ketika ia semakin lepas dari kewajipannya untuk beribadah kepada Allah. Semakin jauh manusia itu dari nilai kemanusiaannya bererti semakin tidak bernilai ia sebagai manusia. Semoga kita semua berada dalam golongan manusia yang bernilai kepada agama, bangsa dan negara.


Sumber Hadith :JAKIM


Di emailkan oleh: Noor Jalilah Abdul Jalil


Along: Semoga kita sentiasa dipelihara-Nya. InsyaAllah....


No comments: